Saturday, 30 April 2016

PERCUTIAN KE PULAU REDANG

Assalamualaikum…….

Pada entri kali ini ingin aku menceritakan pengalaman bercuti bersama keluarga.  Pada hari raya Aidilfitri tahun 2015 aku dan keluargaku telah pergi bercuti ke Pulau Redang, Terengganu.

18 Julai
kami bertolak dari Perlis ke Terengganu menaiki kereta dan kami tiba di Terengganu lebih kurang jam 12 tengah malam. Setelah tiba di Terengganu kami menginap di Sutra Beach Resort, Marang. Suasana waktu itu tidak dapat digambarkan kerana ia pada waktu malam dan kami tidak dapat lihat apa yang ada di sekeliling resort itu, yang cuma boleh lihat adalah laluan untuk ke rumah penginapan. Sampai sahaja di bilik apa lagi tidur lah esok nak ke Redang pulak.

19 Julai
Awal pagi lagi semua bersiap-siap untuk pergi ke Jeti Marang untuk menaiki bot ke Pulau Redang. Keluar sahaja dari bilik penginapan, kami semua terpegun melihat keindahan di sekeliling resort tersebut Mashallah cantik sangat, rupanya di hadapan bilik kami adalah laut biru yang terbentang luas. Di resort tersebut juga terdapat kolam renang yang besar berdekatan dengan pantai. Resort ini juga menyediakan sarapan pagi untuk semua tetamu yang menginap, jadi kami sarapan dahulu sebelum bertolak ke jeti.

Pemandangan di Sutra Beach Resort
Kami tiba di jeti Marang lebih kurang 20 minit sahaja dari tempat penginapan. Tempat meletak kenderaan disediakan dan sentiasa dijaga oleh itu tidak perlu risau untuk tinggal kenderaan di jeti tersebut. Abang iparku telah mangambil pakej Redang Pelangi Resort iaitu RM360 seorang, pakej ini termasuk bot pergi dan balik, makan minum dan aktiviti snorkeling. Disebabkan kami mengambil pakej ini maka di jeti tersebut terdapat bot yang dikhaskan untuk membawa penumpang yang ingin menginap di Redang Pelangi Resort.

Redang Pelangi Resort

Perjalan ke Redang Pelangi Resort mengambil masa lebih kurang 45 minit dari jeti Marang. Tiba sahaja di pinggir pantai kami terpegun melihat suasana di situ laut yang biru berserta pasir yang putih bersih Mashallah rasa pertama kali melihat pemandangan yang cantik sebegitu. 

Pemandangan dari atas bot
Setelah urusan Check-in selesai kami diberi kunci bilik dan dipersilakan untuk menjamu selera yang telah disediakan di situ. Pada jam 2.30 petang kami diberi alatan snorkeling berserta jaket keselamatan untuk memulakan aktiviti snorkeling yang pertama. Masa itu rasa takut dan gembira bercampur aduk hahaha… takut sebab tak pandai berenang, gembira sebab nak rasa pengalaman baru.

Bersiap sedia nak pergi snorkeling
Kami menaiki bot yang disediakan untuk ke pulau dimana aktiviti snorkeling dilakukan. Sampai sahaja di sebuah pulau kami diarahkan untuk turun kedalam laut ataupun duduk sahaja didalam bot jika tidak mahu turun. Aku dengan adik-adik aku pun dengan beraninya nak turun sebab tengok dari bot air macam tak dalam pun.  Masuk sahaja dalam air aku dah panik sebab kaki aku tak jejak dasar laut, aku tak pandai nak imbang diri dan mulalah rasa nak lemas padahal pakai jaket keselamatan hahaha…tiba-tiba ada satu pakcik tanya aku “kamu boleh berenang ke???” apa lagi cakap tak boleh lah (rasa nak menangis huhu) lalu pakcik itu tarik aku bagi imbang badan dan dia suruh aku tenang dan lihat sahaja ke dalam laut, aku tidak mahu sebab aku tak berani, dia tetap suruh aku lihat dan aku pun perlahan-lahan tunduk dan lihat ke dalam laut.  Terpegun aku melihat apa yang ada dalam laut tersebut, tidak mampu nak gambarkan bertapa indahnya ciptaan Allah cantik sangat!!!!!. Pertama kali merasa pengalaman sebegitu, baru aku tahu bertapa indahnya keadaan didalam laut. Rupanya pakcik yang tolong aku itu bernama Pak Mat dan dia merupakan pekerja di resort tersebut dan dia juga merupakan pekerja yang berpengalaman serta mahir dalam mengendali aktiviti di laut malah dia juga dikenali sebagai “kapten Jack Sparrow” kerana mahir mengendalikan bot/ferri. Pak Mat membawa aku melihat apa yang istimewa di dalam laut tersebut, yang pertama aku dapat lihat pelbagai jenis gamat, yang kedua dapat lihat rumah ikan nemo dan seterusnya dapat lihat pelbagai jenis dan bentuk batu karang. Setelah masa yang diberikan untuk aktiviti tersebut tamat dan kami semua pulang semula ke resort. Sampai sahaja di resort bersihkan diri, makan malam dan setelah itu berjalan-jalan di sekitar itu mengambil angin malam.

lepak-lepak dengan keluarga



20 Julai

Aktiviti hari kedua setelah bersarapan kami diarahkan untuk tunggu di tepi pantai untuk menaiki bot untuk ke Taman Laut bagi aktiviti snorkeling yang kedua. Sampai sahaja di Taman Laut kami diberi taklimat sedikit berkenaan peraturan di sana. Antara taklimat yang diberi adalah seperti dilarang mengambil sebarang jenis batu karang yang terdapat di situ kerana ia boleh dikenakan denda kerana mengambil harta Taman Laut. Taman Laut ini adalah sesuai untuk budak-budak kerana disini airnya jernih dan terdapat banyak ikan oleh itu mudah untuk dilihat walaupun tidak pergi jauh. 

Selesai taklimat kami semua boleh memulakan aktiviti snorkeling. Pak Mat menanti kami untuk membawa kami melihat apa yang terdapat di dalam Taman Laut pula. Disini aku dapat lihat ikan kerapu yang besar bersembunyi disebalik batu. Selain itu aku dapat lihat belut yang panjang dan dia bersembunyi di dalam lubang. Pak Mat membawa keluar belut tersebut dan semua yang melihat berenang jauh dari situ kerana takut melihat belut tersebut, tetapi tidak perlu risau kerana Pak Mat akan menjaga semua dari diserang belut tersebut. 

Habis sahaja aktiviti snorkeling di sana kami pun pulau semula ke resort. Seperti biasa bersihkan diri, makan tengah hari dan rehat-rehat sebelum aktiviti snorkeling seterusnya. Disebabkan terlalu letih kami semua mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aktiviti snorkeling seterusnya kerana kami ingin berehat dan berjalan-jalan disekitar resort tersebut untuk melihat pemandangan dan membeli sedikit buah tangan untuk sedara-mara dan kawan-kawan. Pada waktu malam terdapat BBQ yang disediakan oleh pihak resort untuk semua tetamu. Terdapat pelbagai jenis hidangan laut seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain lagi semua hidangan sangat sedap dan menarik. Selesai makan malam kami berjalan mengambil angin malam dan berehat di pondok yang terdapat di sekitar resort.

Berehat selepas aktiviti snorkeling ke Taman Laut

Bersiap-siap nak naik bot
21 Julai
Hari ini merupakan hari terakhir kami disini. Kami bersarapan di cafe dan setelah itu kami bersiap-siap untuk pulang. Proses check-out pada jam 10 pagi kerana pukul 11 pagi kami akan menaiki bot untuk ke Jeti Marang semula. Sampai sahaja di jeti kami menaiki kenderaan dan bersiar-siar di Terengganu sebelum pulang ke Perlis. Sempat kami singgah di Pasar Payang untuk membeli keropok lekor untuk dibawa pulang. Selesai bersiar-siar kami terus bergerak pulang ke Perlis.

Terima kasih kakak & abang ipar
sebab sponsor percutian ini....
Bye dah nak balik...



Akhir kata…
Apa yang dapat aku simpulkan dari percutian ini adalah Pulau Redang merupakan sebuah pulau yang menarik, cantik dan bersih.  Tidak rugi untuk datang semula ke pulau ini dan Insyaallah ada rezeki ingin aku datang semula ke Pulau Redang. Pulau ini sangat sesuai untuk kita berehat dan meluangkan masa bersama insan tersayang kerana ia jauh dari kesibukan kota serta jauh dari kehidupan kota. 

sekian....