Wednesday, 30 March 2016

AKTIVITI DI UUM

Assalamualaikum...

              Pada entri kedua kali ini saya ingin menceritakan aktiviti yang baru sahaja berlansung di UUM iaitu "Pesta Buku Utara Discover UUM 2016". Pesta ini telah bermula pada 20 Mac 2016 sehingga 26 Mac 2016 bertempat di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM). Di pesta ini terdapat sebanyak 76 gerai yang dibuka, 46 gerai merupakan gerai buku dan 30 gerai ICT Fair. Gerai-gerai ini dibuka bagi menarik pengunjung samaada dari luar ataupun dalam. Orang luar juga boleh mengunjungi pesta yang dianjurkan di UUM ini kerana ia tidak terhad kepada warga UUM sahaja.
           Perasmian pesta buku ini telah berlansung pada 21 Mac 2016, dan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Haji Tajul Urus Haji Mat Zain. Beliau berkata “Tujuan pesta buku ini dianjurkan adalah untuk menyuburkan minat membaca dalam kalangan masyarakat”, tambahan beliau, “budaya membaca perlu dipupuk di peringkat kanak-kanak lagi agar mereka dibentuk menjadi modal insan yang berilmu kerana mereka merupakan pewaris Negara”. “Justeru itu, industri buku Negara perlu mengiatkan usaha dalam penghasilan dan pengeluaran buku yang berkualiti agar dapat dipasarkan di dalam dan luar Negara serta memberi manfaat kepada masyarakat dalam meningkatkan ilmu pengetahuan,” ujar beliau dalam ucapan Perasmian Pesta Buku Utara Discover UUM 2016.
        Akhir kata, pesta buku ini sangat bermanfaat, bukan sahaja untuk pelajar malah untuk semua golongan masyarakat bagi memupuk minat membaca di dalam diri kita. Oleh itu marilah kita beramai-ramai ke pesta buku yang telah dianjurkan di UUM ini. Pelbagai jenis buku boleh didapati dengan harga yang murah dan para pelajar juga boleh menggunakan baucer buku yang telah diberi bagi membeli buku yang dijual disini. Disini saya sertakan beberapa gambar yang telah diambil disekitar pesta buku ini.....

Bersama Puan Nor Hafidah...


Yang Berhormat Dato' Haji Tajul Urus Haji Mat Zain.


Majlis Perasmian

Jualan Pebagai Jenis Buku


Friday, 4 March 2016

PERKENALAN DIRI


Sudah Dipukal Baung di Lembah, 
Sayangnya Kelah Terlepas Jala,
Madah Diungkap dan Dipersembah,
Dengan Bismillah kita Bermula.

Bismillahirrahmanirrahim
Pada tanggal 28 Oktober 1990 lahir seorang puteri kepada Abdul Muthalib dan Hameeda yang diberi nama Musfirah. Panggilan yang sering digunakan untuk memanggilku ialah “Mus” ataupun “Fiera”. Saya membahasakan diri sebagai “Adik” di kalangan keluarga. Saya merupakan anak jati Perlis dan telah dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis. Sudah 26 tahun menetap di Taman Bunga Padi, Kangar, Perlis. Saya merupakan anak ke-4 daripada 6 orang adik beradik. Saya boleh dikira sebagai seorang yang bertuah kerana memiliki adik beradik yang lengkap iaitu, dua orang kakak, seorang abang, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Pada waktu lapang saya gemar membaca novel dan mendengar muzik. Makanan kegemaran ialah semua jenis makanan yang HALAL kerana saya seorang pencinta makanan, begitu juga dengan minuman. 

Saya ingin menceritakan serba sedikit mengenai ahli keluarga saya,  ayah dan ibu saya hanya bekerja sendiri sebagai peniaga. Ayah dan ibu saya bermula dengan hanya berniaga kecil-kecilan hingga kini mereka telah mempunyai sebuah kedai “Alat tulis & Photostat” yang terletak di bangunan KWSP Kangar. Kakak yang pertama telah berkahwin dan bekerja sendiri bersama suaminya. Kakak yang kedua juga telah berkahwin dan bekerja di City Bank Group, Penang. Abang pula merupakan supervisor di sebuah kilang pembuatan motosikal, dan dia juga telah berkahwin. Adik- adik dan saya pula masih dibawah tanggungan ibu dan ayah.

Perjalan saya sebelum ke UUM, saya telah mengambil SPM pada tahun 2007, setelah itu saya diterima masuk ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis. Saya membuat diploma “Pengurusan Hotel & Katering” selama 3 tahun. Tamat pengajian di Politeknik, saya memohon UPU untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah. Alhamdulillah saya telah diterima masuk ke UUM dengan tawaran Ijazah Sarjana Muda Sains Pemutusan. Ayat pertama yang keluar bila saya mendapat tawaran tersebut ialah “Apa itu Sains Pemutusan???” maka saya pun menggunakan khidmat “Encik Google” untuk mencari jawapan kepada soalan tersebut. Pada mulanya saya ingin menolak tawaran tersebut kerana saya meminati ijazah dalam bidang "Hospitaliti" akan tetapi atas nasihat keluarga akhirnya saya menerima tawaran tersebut dan kini berada di tahun akhir (sukanya dah nak habis dah!!!)


Saya rasa setakat ini sahaja cerita mengenai diri saya, sekian terima kasih kerana luangkan masa untuk membaca :) Saya akhiri dengan sebuah pantun perpisahan ;
Pucuk Pauh Delima Batu,
Anak Sembilang di Tapak Tangan,
Biar Jauh di Negeri Satu,
Hilang Dimata Dihati Jangan.